Thursday 20 December 2012

Sains & Teknologi Sebelum Islam



            Tidak dinafikan bahawa apabila kita membicarakan tentang sejarah perubatan Islam, ianya bermaksud kajian terhadap sejarah perubatan selepas kemunculan Nabi Muhammad S.A.W dan terus berkembang di bawah naungan ketamadunan Islam. Walau bagaimanapun, dirasakan menjadi satu keperluan untuk kita tidak terlepas pandang melihat perkembangan dunia perubatan ini sebelum kedatangan Islam. Hasilnya, rumusan tentang di mana, bila dan bagaimana ilmu perubatan Islam berkembang dapat difahami dengan lebih jelas.

Sistem perubatan Islam pada mula sejarahnya telah diceduk daripada pengaruh tamadun kuno. Unsur pengaruh kuno ini kebanyakannya berasal daripada ilmu perubatan Yunani atau sistem perubatan Hipocrates dan juga amalan-amalan perubatan daripada tamadun India dan China. (Ismail Saad, 1985:1) Pengaruh-pengaruh kuno ini kemudiannya dimajukan lagi dengan disiplin ajaran Islam dan dibentuk dalam acuan yang sejajar dengan prinsip-prinsip Islam.

Namun, kemajuan perubatan yang berasaskan dibina sebelum Islam berasaskan prinsip penganalisaan dan pengalaman yang dibentuk daripada konsep aliran Yunani ini mulai lumpuh kira-kira dua ratus tahun sebelum Hijrah. Kelumpuhan ini berpunca daripada peperangan, penyakit yang merebak dan melanda umatnya serta serang puak Barbarian yang merentas pergunungan Alps lalu menyerang Itali dan meruntuhkan empayar Rom. (Ismail Saad, 1985: 1)

Apabila meninjau kedudukan ilmu perubatan dalam lingkungan dunia Arab secara khusus sebelum kedatangan Islam, maka terdapat dua pandangan ahli akademik berhubung perkara ini. Ada yang perpandangan bahawa dunia Arab sebelum Islam tidak mempunyai sistem perubatannya yang saintifik dan sistematik dan ada pula sebahagian yang lain mencanggahi pandangan tersebut.

Menurut Ahmad Taha, (1992: ix), orang-orang Arab sebelum kedatangan Islam sebenarnya tidaklah begitu arif tentang ilmu perubatan. Sebab itu, mereka amat ketinggalan di dalam bidang ini. Boleh dikatakan asas perubatan mereka ialah mempercayai bahawa punca penyakit adalah dari semangat ruh- ruh yang jahat. Mereka sering mendapatkan rawatan daripada para sami, tukang-tukang tilik, ahli nujum dan tukang-tukang sihir. Di samping itu, mereka juga menggunakan jampi serapah dan tangkal-tangkal untuk merawat penyakit. (Ahmad Taha, 1992)

Walau bagaimanapun terdapat juga pada zaman tersebut cara perubatan saintifik tetapi di dalam bentuk yang mudah dan sesuai dengan keadaan dan suasana pada zaman tersebut. Antaranya ialah penggunaan al kayy atau besi panas bagi penyakit-penyakit kronik. Tetapi mereka menggunakannya apabila tidak kedapatan cara-cara perubatan yang lain. (Mahmud Muhammad Abd Aziz, t.th: 19)

Pandangan yang dikemukakan oleh Ahmad Taha (1992) di atas tidak dipersetujui oleh Dr. ‘Ali Abdullah al Difa dan beliau menegaskan bahawa kemajuan orang-orang Arab sebelum kedatangan Islam di dalam bidang perubatan sebenarnya telahpun terserlah. Cuma dengan kedatangan Islam yang menjadi titik tolak awal ke arah pembentukan tamadun baru dunia, bidang ini lebih menonjol kepentingan dan keperluannya.

Seorang penulis sejarah ilmu perubatan Islam, Dr. ‘Amir al Najjar menyetujui pendapat yang kedua ini. Beliau memberi alasan bahawa suasana yang menyelubungi tanah Arab seperti banyaknya terdapat pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan telah menolong menjadikan mereka ke depan di dalam ilmu perubatan. Mereka menggunakan sumber-sumber ini di dalam pengamalan perubatan (Amir al Najjar, 1987:52).

Menurut Ustaz ‘Abbas al Aqqad, dakwaan yang mengatakan mereka (orang-orang Arab pada zaman Jahiliyyah) hanya terlibat dengan kaedah perubatan maknawi sahaja (seperti menggunakan tukang-tukang nujum, ahli-ahli sihir dan sebagainya) sebenarnya kurang tepat. Bahkan bentuk perubatan secara saintifik lebih terdedah kepada mereka. Ini kerana mereka selalu terdedah dengan pekerjaan-pekerjaan yang boleh mendekatkan mereka kepada bentuk perubatan yang lebih saintifik seperti menggembala binatang ternakan. Pekerjaan seperti itu akan mendedahkan kepada mereka tentang sistem kelahiran anak, pembesarannya, bentuk penjagaannya, fungsi anggota tubuh badan, punca penyakit dan berbagai-bagai lagi.

Melalui rekod sejarah, terdapat beberapa orang ahli perubatan saintifik pada zaman tersebut. Antara yang terkemuka ialah Harith bin Kaldah al Thaqafi. Menurut Ibn Hajar, beliau (Harith) sempat berjumpa dengan junjungan Nabi Muhammad S.A.W, bahkan diriwayatkan bahawa ketika Sa’ad bin Abi Waqqas r.a sakit, baginda S.A.W telah mencadangkan supaya dijemput Harith bin Kaldah untuk membantu mengubati penyakit Sa’ad r.a. Walau bagaimanapun, Harith tidak memeluk Islam hingga ke akhir hayatnya (al Asqalani, 1948:228-229).

Seorang lagi pengamal perubatan terkemuka pada zaman kedatangan Islam ialah Ibn Abi Ramthah al Tamimi. Diriwayatkan bahawa beliau juga mempunyai kepandaian di dalam bidang pembedahan ( Amir al Najjar, 1987:58).

(JURNAL PENGAJIAN UMUM)
DR.Nizaita Omar
Jabatan Ekologi Sosial
Fakulti Pengurusan dan Ekonomi
Kolej Universiti Sains & Teknologi Malaysia (KUSTEM)

ULASAN
 Artikel adalah berkaitan dengan sains dan teknologi sebelum Islam. Umumnya, sains dan teknologi telah mula diketahui dan dipraktikkan oleh masyarakat sejak sebelum Islam lagi. Beberapa kajian yang dijalankan oleh penyelidik mendapati tanah Arab telah mempunyai kefahaman sains tentang khususnya dalam bidang perubatan. Jika dilihat secara kasar kefahaman tersebut adalah secara tidak formal, namun hakikatnya masyarakat arab Jahiliyah telah mempunyai pengetahuan tentang sains dan teknologi. Selain itu, ilmu sains dan teknologi yang wujud sebelum Islam telah lahir dan dikembangkan melalui tamadun Yunani. hal ini dapat dibuktikan berdasarkan tokoh-tokoh ilmuwan sains Yunani seperti Plato, Socrates dan ramai lagi. Walaubagaimanapun, selepas kedatangan Islam, ilmu sains dan teknologi semakin berkembang dan banyak kajian baru yang diperolehi oleh para Ilmuwan Islam.

No comments:

Post a Comment